Perubatan – Semantan Puteh
Assalamualaikum
Pada asalnya, Semantan Puteh tiada istilah perubatan kecuali doa doa dan ayat ayat yang digunakan semasa kecemasan atau luka dan bengkak yang ringan sahaja. Namun ianya diperbaik-tambah dengan ayat Quran dan doa doa dari Hadith sebagaimana amalan dan pakaian Ulama dan pendekar dahulu-kala, termasuk petua petua dan kegunaan daun-kayu dan herba sebagai pertambahan ilmu.
Apabila didalam gelanggang, luka dan bengkak adalah perkara biasa terjadi, dan semestinya setiap guru mempunyai sedikit sebanyak petua dan ayat bagi kegunaan sekiranya terjadi sesuatu yang diluar jangkaan.
Salah satu amalan didalam Semantan Puteh seperti tertera pada tulisan sebelum ini, terdapat beberapa amalan untuk kekuatan tubuh-badan dan pemagar pendinding untuk mengelak kejadian yang tidak di-ingini berlaku, namun sekiranya masih berlaku, itu adalah adat biasa orang bergelanggang dan berpencak
Sekiranya terjadi luka-luka kecil, para pengamal Semantan Puteh akan membaca ayat ini:-
ALHAMDULILLAH-HIROBBIL’ALAMIN 1X, 3X, 7X
Cara kegunaan, diambil air liur di-langit-langit menggunakan ibujari selepas membaca ayat diatas dan sapukan kepada luka tersebut bagi menghentikan darah (luka ringan).
Boleh jua digunakan apabila disengat serangga seperti lebah, tebuan, kerengga , lipan dan sebagainya sekiranya tiada usaha lain semasa itu seperti ubatan dan jauh daripada klinik. Namun, hasilnya amat menakjubkan, serta-merta bias akan hilang dan terasa sejuk dengan Izin ALLAH SWT.
Bagaimanapun, ianya harus diamalkan khusus yakni ayat diatas dibaca 40X sehari semalam selama 40 hari berturut-turut, sebelum itu hendaklah membaca Al-Fatihah dihadiahkan kepada Nabi SAW dan Keluarga Baginda, Aulia-Allah dan para sahabat. Satu kali Fatihah khusus untuk amalan ini, Insyallah, mujarab .
Satu lagi ayat yang memang terkenal dikalangan orang melayu apabila berlaku luka-luka kecil ialah:-
TABBAT YADA-ABI-LAHABIU-WATAB
Apabila sampai pada ayat Watab, lidah ditekan kelangit-langit sambil ditekan jari kuat-kuat pada tempat luka, namun harus diingat bahawa ayat ini hanyalah pada luka-luka kecil sahaja
AYAT MENGHALAU ANJING
YA-QITMIR 3X sambil berniat dijauhkan anjing buas
MEMULIH MANGSA KERASUKAN
Salah satu amalan didalam Semantan Puteh untuk memulihkan kerasukan dan gangguan ialah mengamalkan SURAH AL AN’AM AYAT 1 HINGGA 3. Fadhilat ayat ini amat besar dan amat mujarab, terutama apabila gangguan kerasukan keatas Wanita bukan muhrim.
Ayat 1 hingga 3 dari SURAH AL AN’AM hendaklah selalu diamalkan sesudah mana-mana Solat supaya apabila keperluan , ianya mujarab . Ayat ini mengandungi tanda-tanda kebesaran ALLAH dan sifat sifat UTAMA ALLAH.
Cara kegunaan mudah, hanya apabila berhadapan mangsa kerasukan atau gangguan, bacalah ayat diatas sebanyak-banyak tanpa menyentuh langsung mangsa tersebut sambil setiap-kali habis membaca, hendaklah hembus kearah mangsa sambil makrifat Jin atau syaitan keluar dari tubuh badan mangsa . Selalunya, apabila seseorang yang mengamalkan ayat ini bersungguh-sungguh, baru mula membaca sahaja , mangsa akan pulih serta-merta. Kadang-kala, saya biasa dipanggil untuk membantu mangsa kerasukan di Universiti dahulu, namun sebelum sampai, mangsa sudah pulih, dengan berkat Ayat Besar ini dan Izin ALLAH Jua.
Boleh juga digunakan bersama sama ayat ayat pemulih yang lain seperti:-
AYATUL QURSI
AL-IKHLAS
AN-NAS
AL-FALAQ
AYAT AKHIR SURAT AL-BAQARAH
Dan lain-lain
RAHSIA AYATUL-QURSI
Banyak rahsia dan amalan Ayat Qursi telah dibukukan dan boleh didapati di kedai-kedai buku, tetapi apa yang akan saya sajikan ini tidak terdapat didalam mana-mana buku dan kitab. Apa yang didapati didalam penulisan ini adalah diijazah oleh Guru Zahir dan Guru Batin yang diwarisi melalui mimpi yang nyata lagi benar, dengan isyarat khusus dan amalan amalan tertentu seperti mengamalkan membaca secara berterusan :-
AYAT QURSI 170X sehari semalam
YA LATHIF 1,000x sehari semalam
SALAWAT 313X sehari semalam
Mengikut rezeki masing-masing yang ditentukan ALLAH, cepat dan lambat, lambat-laun kita akan mendapat habuan masing-masing. Saya sendiripun mengambil berbulan bulan untuk mendapat hasilnya, namun berkat amalan diatas, kita juga mendapat rahsia-rahsia lain, selain kekuatan ruhani seperti mendapat alamat terlebih dahulu siapa siapa yang ingin melakukan khianat dan sihir, atau mendapat firasat yang tepat pada urusan urusan tertentu, dan yang paling seronok, Solat Hajat dan Hajat kita selalu termakbul dengan cepat oleh ALLAH SWT.
Sekiranya kita rajin dan ikhlas mengamalkan Ayat Qursi ini, jika ada rezeki, kita akan bertemu khadam Ayat Qursi ini dan boleh membantu kita apa apa urusan kecemasan seperti membantu orang lain dan sebagainya.
AYAT BAGI MENGHILANGKAN MENGANTUK
Baca LAA TAK KHUZUHU-SINATUW-WALA-NAUM
Ambil air langit-langit dan baca ayat diatas dan disapukan kepada mata, Insyallah, hilang mengantuk dan letih
AYAT MENGHILANGKAN/MEMBATALKAN PUKAU
Ada dua cara yakni melalaui solat hajat dan amalan khusus
a) Solat hajat seperti biasa DUA ATAU EMPAT RAKAAT, rakaat pertama membaca:-
Al-Fatihah dan
Ayatul Qursi 7X sambil diulang-ulang ayat LAA TAK KHUZUHU –
SINATUW-WALA-NAUM 7X
Dan berdoa seperti maksud solat hajat itu
b) Membaca Ayatul Qursi sebanyak 17X atau 170X sambil diulang-ulang ayat diatas 7X kepada lada hitam, garam jantan atau air zam-zam sekiranya ada, ditaburkan sekeliling rumah dalam dan luar dan air dibuat mandi atau membasuh muka.
AYAT MELEMAHKAN MUSUH SECARA BATIN ATAU MENARIK KEKUATAN ILMU BATIN MUSUH
Baca LAHUMA-FISSAMAWA-TIWAMA FIL-ARDH
Ada dua cara, satu apabila berhadapan musuh dan satu lagi dibuat dari jauh
a) Apabila berhadapan musuh yang mempunyai ilmu kebatinan, maka kita boleh menarik keluar atau melemahkan kekuatan batin musuh. Ayat tadi dibaca sebanyak TUJUH kali senafas dan selepas selesai, hembuskan nafas dari hidung sekuat-kuatnya kita 7X sambil makrifat menarik keluar kekuatan ilmu batin musuh.
Ada jua sesetengah pengamal Semantan Puteh menyambung dengan Kalimah LA-ILA-HAILLALLAH, MUHAMMAD RASULLULLAH sambil menggenggam tangan saolah-olah menggenggam sambil menarik kekuatan ilmu batin musuh
NOTA;- RAHSIA TERSEBUT ADA PADA ILMU-NAFAS, yakni suatu ilmu yang amat dirahsiakan daripada ramai pengamal Ilmu Batin, dikatakan ini adalah setinggi-tinggi ilmu batin yang manusia boleh dapati. Ianya mengandungi rahsia pada nafas manusia yang berhubung-kait dengan rahsia nyawa dan RUH, rahsia Nafas Kanan, Rahsia Nafas Kiri, nama dan gelaran pada nafas, cara menggunakannya, apa yang masuk namanya, apa yang keluar namanya, dan sebagainya. Di-blog ini, penulis tidak bercita-cita mengulas lebih lanjut ILMU NAFAS kerana ia adalah RAHSIA BESAR. Carilah Guru Mursyid untuk mengetahui Ilmu ini. Wallahualam
b) Cara kedua ialah mendirikan Solat Hajat khusus, dan selepas selesai hendaklah membaca Ayatul Qursi 170X sambil diulang-ulang ayat tadi yakni LAHUMAFISSAMA WATIWAMAFIL ARDH 7x.
Sebelum itu, hendaklah menyalakan 7 batang lilin, dan apabila setelah selesai mengamalkan seperti diatas, ketujuh tujuh lilin itu ditiup sehingga padam sambil bermakrifat padamlah kekuatan batin musuh, Insyaalah, musuh akan menjadi lemah dan ilmu kebatinannya tidak menjadi seperti biasa. Cubalah
Sambung dimasa akan datang Rahsia Ayatul Qursi di bahagian kedua.
Disebelah adalah sebahagian buku buku dan tulisan tulisan yang saya kumpulkan daripada pelbagai Guru dan Perguruan sebagai pengetahuan dan pedoman. Ianya mengandungi pelbagai ayat ayat kebatinan, ayat jurus, tangkal, wafaq, azimat, rahsia ilmu nafas dan tenaga dalam, juga terdapat jampi serapah daripada bahasa melayu, Sanskrit, jawa, arab-magribi, ayat daripada bahasa JIN, mantera mantera , ilmu hakikat dan petua.
Walaubagaimanapun daripada beratus ratus itu, saya hanya banyak mengamalkan ayat daripada KALAMULLAH AL-QUR-AN, Doa Doa mahsyur, Salawat, Asmaul Husna, kerana itu sudah memadai bagi kita orang Islam.
Selain itu, buku buku tersebut hanya sebagai pengetahuan saya semata mata.
Disebelah adalah wafaq yang ditulis pada pinggan puteh kemudian dibasuh dengan air dan diberi minum kepada pesakit terkena racun selain santau.
Foto disebelah sebahagian daripada ILMU NAFAS yang saya perkatakan, suatu ilmu rahsia HAQ dan RUHANI
Wassalam dan Wallahualam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan